Rompin, 08 Julai 2015 – Sempena
bulan Ramadhan yang mulia ini, Majlis Belia Daerah Rompin dan Jawatankuasa
Masjid Tengku Mahkota Abdullah dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah
Rompin telah menganjurkan Program Belia Bertadarus bertemakan Belia Cinta Masjid.
Program ini telah berlangsung pada 08 Julai 2015 bersamaan 21 Ramadhan 1436
Hijrah di Masjid Tengku Mahkota Abdullah Rompin.
Anggaran lebih kurang 150 peserta
tadarus telah dijemput bagi menjayakan program tersebut iaitu daripada kalangan
pihak Majlis Belia Daerah Rompin, ahli Masjid Tengku Mahkota Abdullah dan juga
sekolah-sekolah yang dipilih dari sekitar daerah Rompin. Program tadarus telah
dimulakan lebih kurang jam 5.00 petang iaitu setelah melaksanakan solat Asar
berjemaah. Selesai bertadarus, program diteruskan dengan khatam Al-Quran dan
perasmian penutup program oleh Al-Fadhil Tuan Kadi daerah Rompin, Ustaz Adnan
Bin Mamat.
Objektif utama program ini adalah
untuk mewujudkan penghayatan beramal dan beribadah dengan lebih mendalam di
bulan yang penuh barakah ini selain dapat merapatkan lagi hubungan ukwah dan
jalinan silaturahim sesama belia dengan masyarakat setempat. Program ini juga
dilihat mampu memantapkan lagi kemahiran membaca Al-Quran serta membudayakan
Al-Quran dalam jiwa belia khasnya.