Rompin, 18 Oktober 2014 – Dengan kerjasama Persatuan Takraw Daerah
Rompin baru-baru ini Pejabat Belia Dan Sukan Daerah Rompin telah menganjurkan
Kejohanan Takraw Liga Sukan Untuk Semua (LSUS) Peringkat Daerah Rompin dengan
jayanya. Sebanyak 24 buah pasukan dari seluruh daerah Rompin telah menyertai
kejohanan tersebut untuk merebut gelaran johan. Pihak penganjur telah memilih
Dewan Majlis Sukan Negara (MSN) Rompin untuk melangsungkan program tersebut.
Program kejohanan dihangatkan
lagi dengan kehadiran bekas jurulatih elit sukan takraw negara, Encik Iskandar
Arshad. Beliau yang turut bermain dalam acara kejohanan turut meluangkan
sedikit masa untuk berkongsi pengalaman beliau dalam sukan takraw negara kepada
para belia yang berminat dan yang menanam azam untuk meneruskan karier dalam
acara sukan takraw ini.
Program telah dilengkapkan lagi
dengan acara penyampaian hadiah yang telah disempurnakan oleh Pegawai Belia Dan
Sukan Daerah Rompin, Encik Mohd. Izuddin Bin Ilias. Pihak penganjur berharap
agar para belia yang telah menyertai program ini dapat memanfaatkan setiap
teknik yang telah cuba disampaikan dan dipraktikkan disepanjang program
berlangsung agar mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi kelak.