Rompin, 05 Julai 2015 – Bagi
menyemarakkan lagi kehangatan di bulan Ramadhan ini satu program jelajah dan
amal telah dianjurkan oleh Majlis Belia Negeri Pahang dengan kerjasama Jabatan
Belia Dan Sukan Negeri Pahang iaitu Program Jelajah Ramadhan Belia Pahang dan
Sekotak Kasih Ramadhan. Pelepasan penjelajahan telah berlangsung di Wisma Belia
Indera Mahkota, Kuantan, Pahang oleh YB Dato’ Haji Mohd. Johari Bin Haji
Hussain, Exco Belia Dan Sukan Negeri Pahang.
Penjelajahan yang telah berlangsung
selama 3 hari 2 malam itu telah bermula dari 3 hingga 5 Julai 2015 dan telah
melibatkan 11 buah daerah dalam negeri Pahang.
Daerah Rompin merupakan destinasi yang ke 10 iaitu selepas daerah Bera.
Rombongan penjelajahan di daerah Rompin telah disambut mesra oleh pihak Majlis
Belia Daerah Rompin dan Pejabat Belia Dan Sukan Daerah Rompin.
Majlis penyerahan Sekotak Kasih
Ramadhan bagi daerah Rompin telah disempurnakan di Masjid Tengku Mahkota
Abdullah Rompin oleh Pengerusi Majlis Belia Negeri Pahang kepada Pengerusi
Majlis Belia Daerah Rompin, saudara Mohd. Hafez Bin Bakar. Turut hadir
memeriahkan lagi majlis tersebut ialah Pegawai Belia Dan Sukan Daerah Rompin,
Encik Wan Mahazani Bin Wan Tahir.
Objektif utama pelaksanaan
program ini adalah untuk menyampaikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan
bagi berkongsi nikmat ramadhan dan keriangan bagi menyambut Syawal yang bakal
menjelma dan mendekatkan lagi golongan belia dengan masyarakat daripada
pelbagai latar belakang tanpa mengira peringkat umur. Program sebegini dilihat
mampu menyemai sikap prihatin dan rasa tanggungjawab kepada golongan belia
serta menyuntik dan menyemarakkan lagi penghayatan Ramadhan yang mulia ini.
Selesai majlis penyerahan, rombongan jelajah melaksanakan solat zohor berjemaah di masjid tersebut sebelum meneruskan lagi penjelajahan ke destinasi terakhir iaitu daerah Pekan dan seterusnya menuju ke daerah Kuantan untuk Majlis Berbuka Puasa dan Tarawikh.