Thursday, October 23, 2014

PERTANDINGAN SEPAK TAKRAW LIGA SUKAN UNTUK SEMUA (LSUS) DAERAH ROMPIN MENDAPAT SAMBUTAN 2014


Rompin, 18 Oktober 2014 – Dengan kerjasama Persatuan Takraw Daerah Rompin baru-baru ini Pejabat Belia Dan Sukan Daerah Rompin telah menganjurkan Kejohanan Takraw Liga Sukan Untuk Semua (LSUS) Peringkat Daerah Rompin dengan jayanya. Sebanyak 24 buah pasukan dari seluruh daerah Rompin telah menyertai kejohanan tersebut untuk merebut gelaran johan. Pihak penganjur telah memilih Dewan Majlis Sukan Negara (MSN) Rompin untuk melangsungkan program tersebut.


Program kejohanan dihangatkan lagi dengan kehadiran bekas jurulatih elit sukan takraw negara, Encik Iskandar Arshad. Beliau yang turut bermain dalam acara kejohanan turut meluangkan sedikit masa untuk berkongsi pengalaman beliau dalam sukan takraw negara kepada para belia yang berminat dan yang menanam azam untuk meneruskan karier dalam acara sukan takraw ini.


Program telah dilengkapkan lagi dengan acara penyampaian hadiah yang telah disempurnakan oleh Pegawai Belia Dan Sukan Daerah Rompin, Encik Mohd. Izuddin Bin Ilias. Pihak penganjur berharap agar para belia yang telah menyertai program ini dapat memanfaatkan setiap teknik yang telah cuba disampaikan dan dipraktikkan disepanjang program berlangsung agar mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi kelak.


Wednesday, October 22, 2014

PERTANDINGAN HOKI SEMPENA LIGA SUKAN UNTUK SEMUA (LSUS) DAERAH ROMPIN 2014


Rompin, 18 Oktober 2014 – Sempena Liga Sukan Untuk Semua (LSUS) Peringkat Daerah Rompin 2014 baru-baru ini Pejabat Belia Dan Sukan Daerah Rompin dan Majlis Sukan Daerah Rompin dengan kerjasama Persatuan Hoki Daerah Rompin telah menganjurkan satu Kejohanan Hoki bertempat di Padang Majlis Daerah Rompin. Program yang bermula seawal jam 8.30 pagi itu telah disertai oleh 10 pasukan dari seluruh daerah Rompin, Pahang.


Pegawai Belia Dan Sukan Daerah Rompin, Encik Mohd Izuddin Bin Ilias turut hadir meluangkan masa bagi memeriahkan lagi acara kejohanan sekaligus menyempurnakan acara penyampaian hadiah kepada para pemenang. Turut hadir ialah Setiausaha Persatuan Hoki Daerah Rompin, Encik Nasaruddin Bin Zainal Abidin.


Tujuan utama penganjuran program ini adalah untuk mencari pemain hoki pelapis dan juga yang berbakat bagi mewakili daerah Rompin ke LSUS peringkat negeri yang bakal berlangsung sekitar bulan November akan datang. Penganjuran program sebegini dilihat mampu memupuk semangat kesukanan dan kerjasama di kalangan para belia sekaligus memberi ruang kepada para belia untuk menimba ilmu dan pengalaman bermain hoki daripada para pemain yang lebih mahir serta banyak pengalaman.


Monday, October 20, 2014

KEJOHANAN PING PONG LIGA SUKAN UNTUK SEMUA (LISUS) DAERAH ROMPIN BERJALAN LANCAR 2014


Rompin, 12 Oktober 2014 – Satu Kejohanan Ping Pong telah diadakan sempena Kejohanan Liga Sukan Untuk Semua (LSUS) Peringkat Daerah Rompin 2014 di Dewan Kompleks Rakan Muda Sukan Air Rompin baru-baru ini. Kejohanan tersebut telah dianjurkan oleh Pejabat Belia Dan Sukan Daerah Rompin dengan kerjasama daripada Persatuan Ping Pong Daerah Rompin.


Kejohanan tersebut telah dibahagikan kepada 2 kategori iaitu acara single dan double. Acara yang bermula sekitar jam 8.30 pagi itu telah disertai oleh para peminat sukan ping pong dari seluruh daerah Rompin tanpa mengira peringkat umur. Pihak penganjur telah menerima sebanyak 24 penyertaan untuk kategori single dan 6 penyertaan untuk kategori double.


Program telah dimulakan dengan sesi pendaftaran dan regangan. Sebelum acara dimulakan para peserta telah diberi sedikit taklimat oleh pihak penganjur berkenaan dengan peraturan dan keselamatan yang perlu dipatuhi oleh para peserta. Hadiah kejohanan telah disampaikan oleh Pegawai Belia Dan Sukan Daerah Rompin, Encik Mohd Izuddin Bin Ilias.


Sebelum bersurai para peserta mengambil kesempatan untuk bergambar kenangan bersama pihak penganjur dan pengadil yang telah menjayakan program tersebut. Program tamat sekitar jam 2 petang.

Sunday, October 19, 2014

KEJOHANAN BOLA JARING LIGA SUKAN UNTUK SEMUA (LISUS) PERINGKAT DAERAH ROMPIN MERIAH 2014


Rompin, 11 Oktober 2014 – Aktiviti sukan bola jaring merupakan salah satu sukan yang popular di kalangan kaum wanita. Baru-baru ini satu Kejohanan Bola Jaring Liga Sukan Untuk Semua (LSUS) telah dianjurkan oleh Pejabat Belia Dan Sukan Daerah Rompin dengan kerjasama Persatuan Kecergasan Daerah Rompin.  Cabutan undi untuk setiap pasukan telah dilangsungkan sehari sebelum hari kejohanan bertempat di Pusat Persatuan Kecergasan Daerah Rompin.


Pihak penganjur telah memilih Dewan Kompleks Rakan Muda Sukan Air Rompin bagi melangsungkan program tersebut yang telah disertai oleh 10 pasukan bola jaring dari seluruh daerah Rompin, Pahang. Program telah bermula sekitar jam 8.00 pagi dengan sedikit taklimat ringkas oleh Pengerusi Persatuan Daerah Rompin iaitu Datin Nor Azam Binti Haji Johan kepada setiap peserta kejohanan. Encik Mohd. Izuddin Bin Ilias, Pegawai Belia Dan Sukan Daerah Rompin turut menghadirkan diri di kejohan tersebut serta menyempurnakan acara penyampaian hadiah kepada pemenang.


Tujuan utama penganjuran program tersebut adalah untuk mencungkil bakat-bakat baru dalam acara sukan bola jaring untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi. Program sebegini dilihat dapat memupuk semangat kesukanan dan kerjasama di kalangan para belia. Pihak penganjur berharap penganjuran program ini dapat dimanfaatkan dengan lebih baik oleh para peserta untuk beriadah sambil bersukan di hujung minggu.

Saturday, October 18, 2014

KEJOHANAN BOLA SEPAK 9 SEBELAH LIGA SUKAN UNTUK SEMUA (LISUS) DAERAH ROMPIN 2014



Rompin, 11 Oktober 2014 – Pejabat Belia Dan Sukan Daerah Rompin dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Daerah Rompin, Majlis Sukan Daerah Rompin dan Kelab Bola Sepak PERTs baru-baru ini telah menganjurkan Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah Liga Sukan Untuk Semua (LISUS) Peringkat Daerah Rompin. Program yang telah berlangsung selama satu hari itu telah diadakan di Padang Bola Sepak Jabatan Kerjaraya Rompin bermula seawal jam 8.00 pagi.


Sebanyak 32 pasukan telah menyertai kejohanan tersebut dengan jayanya bagi merebut gelaran johan. Program telah dimulakan dengan pengemaskinian pendaftaran pasukan, disusuli dengan cabutan undi dan taklimat ringkas daripada pihak penganjur kepada pengurus setiap pasukan yang telah mendaftar dalam kejohanan tersebut.


Kehadiran Encik Mohd Rozi Bin Bakar, Pengarah Kejurulatihan Persatuan Bola Sepak Daerah Rompin merangkap Ketua Jurulatih Persatuan Bola Sepak Daerah Rompin ke program tersebut menambahkan lagi kehangatan acara kejohanan. Acara penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pegawai Belia Dan Sukan Daerah Rompin, Encik Mohd Izuddin Bin Ilias.


Penganjuran program tersebut adalah bertujuan untuk memilih para pemain yang berpotensi bagi mewakili daerah ke peringkat negeri selain untuk memberi ruang kepada para belia mengisi masa yang terluang dengan melakukan aktiviti yang sihat dan berfaedah. Pihak penganjur berharap agar lebih banyak penyertaan dalam aktiviti sebegini di masa akan datang. Program berakhir sekitar jam 7.00 petang.

Wednesday, October 8, 2014

KONVOI BELIA BERMOTOR "SAVE GAZA" 2014

 

Rompin, 28 September 2014 Pejabat Belia Dan Sukan Daerah Rompin dengan kerjasama Kelab PERTS Motorsport  dan Parlimen Rompin telah berjaya menganjurkan Program Konvoi Belia Bermotor (Save Gaza) pada 26 – 28 September 2014 baru-baru ini. Program yang bermula dari Padang Majlis Daerah Rompin itu telah disertai oleh lebih 50 orang peserta belia dari seluruh daerah Rompin. Perjalanan konvoi tersebut adalah Kuala Rompin – Kuala Terengganu – Kuala Rompin.


Program dimulakan dengan bacaan doa oleh imam dari Pejabat Agama Daerah Rompin dan diteruskan dengan acara perlepasan yang telah disempurnakan oleh ASP Tuan Abdul Rahman Bin Abdul Jalil, Ketua Bahagian Keamanan Awam (KBKA)/Ketua Trafik Daerah (KTD) dari Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin. Turut hadir ke program tersebut ialah Pegawai Belia Dan Sukan Daerah Rompin, Encik Izuddin Bin Ilias. Antara pengisian program adalah mengadakan gotong – royong amal serta ramah mesra para peserta dengan masyarakat komuniti di Kampung Sekayu, Kuala Terengganu.


Tujuan penganjuran program ini adalah untuk meningkatkan rasa keprihatinan para belia dengan kejadian yang telah menimpa rakyat palestin di Gaza disamping untuk mengurangkan penglibatan belia dalam aktiviti yang tidak sihat melalui program yang bermanfaat dan terkawal sebegini. Melalui program ini juga para belia berpeluang untuk menerima pendedahan cara-cara penunggangan motor yang berhemah dan selamat.

Pihak penganjur berharap program sebegini dapat diteruskan dan diperluaskan lagi agar dapat menanam sifat jatidiri, bertanggungjawab dan kerjasama dikalangan para belia serta mampu mencetus impak yang sangat bermakna kepada para belia.


INSPIRE iTALENT SUKAN PARALIMPIK DAERAH ROMPIN 2014



Rompin, 27 September 2014 – Dalam usaha untuk mengukur keupayaan umum golongan OKU dan bagi menilai asas keupayaan golongan tersebut dalam bidang sukan, satu program khas telah dianjurkan oleh Pejabat Belia Dan Sukan Daerah Rompin iaitu Program “Inspire i-Talent Sukan Paralimpik”. Program yang telah berlangsung dengan kerjasama daripada Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Pahang telah disertai oleh seramai 57 orang golongan OKU dari seluruh daerah Rompin, Pahang.


Kompleks Rakan Muda Sukan Air (KRMSA) Rompin telah dipilih oleh pihak penganjur untuk melaksanakan program ini. Tujuan utama penganjuran program ini adalah utuk mengenalpasti bakat asas keupayaan sukan bagi golongan OKU untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi disamping menggalakkan penglibatan OKU dalam aktiviti sukan. 


Program telah dimeriahkan lagi dengan kehadiran Pegawai Belia Dan Sukan Daerah Rompin, Encik Izuddin Bin Ilias. Beliau turut menyempurnakan acara penyampaian sijil kepada para peserta yang telah menyertai program tersebut dengan jayanya.