Wednesday, December 2, 2015

BELIA ROMPIN BERTADARUS


Rompin, 08 Julai 2015 Sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, Majlis Belia Daerah Rompin dan Jawatankuasa Masjid Tengku Mahkota Abdullah dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Rompin telah menganjurkan Program Belia Bertadarus bertemakan Belia Cinta Masjid. Program ini telah berlangsung pada 08 Julai 2015 bersamaan 21 Ramadhan 1436 Hijrah di Masjid Tengku Mahkota Abdullah Rompin.

Anggaran lebih kurang 150 peserta tadarus telah dijemput bagi menjayakan program tersebut iaitu daripada kalangan pihak Majlis Belia Daerah Rompin, ahli Masjid Tengku Mahkota Abdullah dan juga sekolah-sekolah yang dipilih dari sekitar daerah Rompin. Program tadarus telah dimulakan lebih kurang jam 5.00 petang iaitu setelah melaksanakan solat Asar berjemaah. Selesai bertadarus, program diteruskan dengan khatam Al-Quran dan perasmian penutup program oleh Al-Fadhil Tuan Kadi daerah Rompin, Ustaz Adnan Bin Mamat.

Objektif utama program ini adalah untuk mewujudkan penghayatan beramal dan beribadah dengan lebih mendalam di bulan yang penuh barakah ini selain dapat merapatkan lagi hubungan ukwah dan jalinan silaturahim sesama belia dengan masyarakat setempat. Program ini juga dilihat mampu memantapkan lagi kemahiran membaca Al-Quran serta membudayakan Al-Quran dalam jiwa belia khasnya.

Sebelum bersurai, para peserta telah berbuka puasa bersama-sama sebelum melaksanakan solat maghrib berjemaah dan seterusnya bertarawikh bersama-sama.

BELIA KAMPUNG MASUK KAMPUNG


Rompin, 25 April 2015 – Pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak kerajaan dan badan-badan NGO bagi memupuk dan menarik minat para belia untuk terus menabur bakti kepada masyarakat serta membina sahsiah diri sekaligus meningkatkan kualiti kempimpinan. Terbaru ini satu program khidmat masyarakat Orang Asli telah dianjurkan oleh Persatuan Belia Orang Asli Sepang dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia dan JKK Kampung Orang Asli Kemendol, Kuala Rompin, Pahang iaitu Program Belia Kampung, Masuk Kampung 2015.

Program yang telah berlangsung di Kampung Orang Asli Kemendol, Kuala Rompin, Pahang ini telah disertai oleh seramai lebih kurang 40 orang daripada Gabungan Belia Orang Asli Selangor dan anggaran 150 orang belia dan penduduk dari sekitar Kampung kemendol sendiri sebagai tuan rumah bagi tahun 2015 ini. Antara pengisian program ialah Motivasi & Pembangunan Minda, Gotong-Royong dan Ziarah.

Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh YB Senator Dato’ Muhammad Olian Bin Abdullah. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Encik Wan Mahazani Bin Wan Tahir, Pegawai Belia Dan Sukan Daerah Rompin dan wakil pengarah dari Jabatan Orang Asli Negeri Pahang.

Objektif penganjuran program ini adalah bagi melatih belia secara amali melaksanakan tugas mendidik dan berbakti kepada komuniti sekitar dan masyarakat. Selain itu juga program ini dilihat mampu memupuk semangat kemasyarakatan dan sekaligus melahirkan belia yang bersahsiah terpuji dan kepimpinan yang berkualiti.


Program sebegini diharap dapat di teruskan lagi di masa akan datang dan di perluaskan lagi di daerah-daerah atau negeri lain.