Wednesday, December 2, 2015

BELIA KAMPUNG MASUK KAMPUNG


Rompin, 25 April 2015 – Pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak kerajaan dan badan-badan NGO bagi memupuk dan menarik minat para belia untuk terus menabur bakti kepada masyarakat serta membina sahsiah diri sekaligus meningkatkan kualiti kempimpinan. Terbaru ini satu program khidmat masyarakat Orang Asli telah dianjurkan oleh Persatuan Belia Orang Asli Sepang dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia dan JKK Kampung Orang Asli Kemendol, Kuala Rompin, Pahang iaitu Program Belia Kampung, Masuk Kampung 2015.

Program yang telah berlangsung di Kampung Orang Asli Kemendol, Kuala Rompin, Pahang ini telah disertai oleh seramai lebih kurang 40 orang daripada Gabungan Belia Orang Asli Selangor dan anggaran 150 orang belia dan penduduk dari sekitar Kampung kemendol sendiri sebagai tuan rumah bagi tahun 2015 ini. Antara pengisian program ialah Motivasi & Pembangunan Minda, Gotong-Royong dan Ziarah.

Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh YB Senator Dato’ Muhammad Olian Bin Abdullah. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Encik Wan Mahazani Bin Wan Tahir, Pegawai Belia Dan Sukan Daerah Rompin dan wakil pengarah dari Jabatan Orang Asli Negeri Pahang.

Objektif penganjuran program ini adalah bagi melatih belia secara amali melaksanakan tugas mendidik dan berbakti kepada komuniti sekitar dan masyarakat. Selain itu juga program ini dilihat mampu memupuk semangat kemasyarakatan dan sekaligus melahirkan belia yang bersahsiah terpuji dan kepimpinan yang berkualiti.


Program sebegini diharap dapat di teruskan lagi di masa akan datang dan di perluaskan lagi di daerah-daerah atau negeri lain.

No comments:

Post a Comment